Enjut Lebah Enjut!
ANTIKLIMAKS PETANG ATAU KLIMAKS MALAM?
Perlawanan petang atau malam?
Waktu perlawanan yang bakal berubah merupakan antara topik hangat yang sedang berlegar antara penyokong pasukan Lebah dan secara tidak langsung menimbulkan polemik. Menilai daripada situasi pemain; masalah yang besar tidak akan timbul memandangkan latihan pasukan dan juga perlawanan persahabatan lazimnya berlangsung pada waktu petang.
Isunya timbul kerana pelaksanaannya bakal menimbulkan masalah daripada segi kutipan tiket dan juga bilangan penonton yang akan hadir ke stadium. Sekiranya perkara ini benar-benar dilaksanakan dan berlarutan sehingga ke penghujung musim, kita akan menyaksikan semusim yang hambar dan dingin dengan sorak sorai penyokong. Satu kesan domino bakal timbul susulan keputusan meletakkan jadual perlawanan di waktu petang; bukannya malam.
Kebanyakan daripada penyokong akan bekerja pada hari Sabtu minggu pertama dan ketiga. Sekiranya perlawanan dilangsungkan pada waktu petang hari Sabtu, kemungkinan untuk menyaksikan stadium penuh dengan tempat kosong berada dalam jaminan. Mereka (penyokong) sudah pasti tidak mahu terkejar-kejar dengan badan yang sedang keletihan, mengharung trafik jem, berasak untuk masuk ke dalam stadium - faktor ini membuatkan nafsu untuk menonton pasukan Lebah beraksi akan menurun.
Kesan dominonya, perkara ini sedikit sebanyak akan menyumbang kepada penurunan pendapatan kelab melalui penjualan tiket get. Walaupun jumlahnya tidaklah sebanyak mana; tetap memberikan kesan terhadap akaun kelab.
Apabila lebih banyak tempat kosong daripada penyokong, sudah tentu sorakan terhadap pasukan Lebah akan lesu. Bagaimana Eddy Helmi akan menjaringkan gol sekiranya tiada penyokong yang mahu menyorak? Perlu diingat, penyokong merupakan pemain ke 12 - selain pengadil yang kadangkala menjadi pemain ke 13. Ke mana perlu dicampakkan moral pasukan? Ke Danga Bay ataupun Pantai Minyak Beku?
Jelas sekali, FAM perlu memberikan sedikit kelonggaran demi memastikan Liga Malaysia akan kembali ke zaman kegemilangan sepertimana era Dunhill dahulu. Sikap keras kepada dan berdegil tidak akan membawa tahap bola sepak ke mana-mana. Pertimbangan lampu limpah stadium (500 lux dan 800-1000 lux) merupakan tanggungjawab Majlis Perbandaran terutamanya perbadanan yang menguruskan stadium. Dengan sedikit tolak ansur dan toleransi, masalah ini boleh diselesaikan demi kebaikan bersama bola sepak.
Kerana di akhir hari, rakyat yang akan memeriahkan bola sepak; bukannya borjuis yang mengisi kerusi jawatan FAM kerana memenuhi kantung sendiri.
Enjut Lebah enjut!
BARISAN TANPA BINTANG
Bermulanya season 2011-2012, pihak pengurusan Johor FC telah membawa masuk beberapa muka baru untuk memperkasakan lagi pasukan. Untuk sesetengah posisi, ada beberapa pertukaran drastik yang dilakukan oleh coach Azuan Zain untuk mendapatkan keseimbangan dan juga mobiliti ke dalam skuad Lebah.
Antara pemain yang telah berhijrah keluar:
1. G. Jeevanathan - USM FC
2. Zulhisyam Jamaluddin - Sime Darby FC
3. Mohd Syaiful Sabtu - Sarawak
4. Mohd Nurul Azwan Roya - Kelantan
5. Wan Rohaimi Wan Ismail - Kelantan
6. S. Sivakumar - Sabah
7. Sumardi Hajalan - Sabah
8. Safuan Ibrahim - Sabah
Melihat daripada pemain yang berhijrah keluar, pemergian Sivakumar sudah semestinya bakal dirasai. Sivakumar merupakan seorang utility player yang kebiasaannya bermain sebagai seorang pemain tengah bertahan; tetapi ketika kendalian coach Ramlan Rashid - Sivakumar kerap kali diturunkan sebagai seorang pertahanan tengah. Pilihan untuk membenarkan Sivakumar pergi merupakan satu keputusan yang berisiko untuk coach Azuan Zain sekiranya Johor FC berdepan masalah kecederaan di posisi pertahanan atau tengah. Begitu juga dengan pemergian Sumardi Hajalan dan Syaiful Sabtu. Untuk posisi serangan, pemergian Zulhisyam Jamaluddin dijangka tidak memberikan kesan ketara kepada pasukan. Gandingan Hamzani dan Saiful Mohamad dijangka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Rohaimi.
Antara pemain yang dibawa masuk:
1. Rezal Zambery Yahya - Negri Sembilan
2. Abdul Rahman Mohd Zabul - Negri Sembilan
3. Mohd Radzi Jasman - Johor
4. Irfan Ghani - Johor
5. Shahrizal Saad - Perak
6. Suhardi Alby - USM FC
Kemasukan Rezal Zambery memberikan steel power kepada jentera tengah. Selain daripada bertindak sebagai anchor man, gandingan Rezal dan Khairul Ismail dijangka memberikan kegerunan kepada pihak lawan. Rezal mempunyai positioning yang baik, hantaran jauh dan pendek yang tepat, bentesan keras yang melumpuhkan serangan pihak lawan dan mampu menjana serangan kilat sepertimana yang dilakukannya semasa bersama Negri Sembilan. Perkara ini dapat memberikan kelebihan untuk Johor FC tatkala berdepan dengan pasukan lawan yang bercorak menyerang.
Kemasukan Radzi Jasman dan Irfan Ghani memperkuatkan posisi dan memberikan harapan untuk masa depan pasukan. Kedua-duanya yang masih muda (22 tahun) pasti akan dapat memberikan impak kepada pasukan untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Rahman Zabul bakal memberikan sengat di bahagian bek kanan, Shahrizal akan bertindak sebagai penggempur bersama Eddy Helmi manakala Suhardi Alby akan memberikan saingan siapakah yang paling layak untuk menjadi penjaga gawang pasukan.
Secara keseluruhannya, biarpun tanpa pemain berstatus bintang, seperti musim-musim sebelumnya; Johor FC akan tampil sebagai underdog. Tetapi perlu diingat, dengan pemain decent seperti ini, Johor FC telah membuktikan bahawa semangat dan jiwa yang kental mampu mengatasi pasukan yang dilabel sebagai pilihan.
Senarai lengkap pasukan untuk musim 2011-2012:
Penjaga Gol:
Suhardi Alby
Mohd Fazli Paat
Mohd Anis Faron
Pertahanan:
Mat Saiful Mohamad
Mohd Hamzani Omar
Mohd Hafiz Aridin
Mohd Izuan Jarudin
Mohd Khairi Kiman
Mohd Rizal Roslan
Mohd Ridzwan Ma'on
Mohd Badrul Abdul Khalid
Mohd Afendi Ishak
Mohd Hasnizaidi Jamian
Mohd Fekry Tajuddin
Abdul Rahman Mohd Zabul
Mohd Irfan Abdul Ghani
Mohd Radzi Jasman
Tengah
Mohd Azuwan Mohd Arip
Mohd Azizan Baba
Mohd Khairul Ismail
Mohd Noor Hakiroy
Mohd Rashid Aya
Mohd Fandi Ahmad
Rezal Zambery Yahya
Penyerang
Mohd Syafuan Riduwan
Eddy Helmi Abdul Manan
Mohd Irme Mat
Mohd Azizi Awaluddin
Shahrizal Saad
Mohd Hazman Hashim
Pada 29 Januari 2011, skuad ini akan bertemu pasukan Felda United bertempat di Stadium JCorp Pasir Gudang. Pertemuan pertama ini penting sebagai pembakar semangat untuk memulakan musim 2011-2012 dengan langkah kanan dan sebagai medan awal sebelum mengharungi musim 2011 yang panjang. Cabaran yang dibawa oleh Felda United tidak boleh dipandang mudah kerana mereka dibarisi oleh bekas pemain kebangsaan terutamanya Khaironnisam Shahabuddin dan Nazrul Erwan Makmor yang mengemudi benteng.
Moga Johor FC tidak mudah mengaku kalah dan terus menyengat sehinggalah tiupan wisel akhir dibunyikan.
Enjut Lebah Enjut!
BARCELONA SELATAN SEMENANJUNG
Johor FC merupakan sebuah kelab yang berpangkalan di Pasir Gudang. Tidak ada sesiapa yang pernah mengendahkan kewujudan kelab kecil ini di persada bola sepak tempatan. Dengan dibarisi rata-rata pemain kelahiran Johor dan makan tempe, Johor FC tidak pernah mengendahkan itu semua dan terus mengorak langkah cemerlang memeriahkan kancah bola sepak tanah air.
Hakikat bahawa Johor FC melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia juga merupakan satu perkara yang biasa dan tidak mencetuskan hype dalam kalangan peminat liga tempatan. Johor FC sudah biasa mara ke pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir. Namun masih lagi kempunan untuk merasa beraksi di pentas final kerana Johor FC merupakan kelab kerdil yang tidak bersandarkan kepada nama-nama besar. Rata-rata pemain Johor FC merupakan anak kelahiran negeri dan kurang ternama. Tetapi sudah menjadi adat di mana-mana; pasukan yang kerdil; mempunyai jiwa yang cukup besar.
Musim baru 2010-2011 memberikan kejutan awal buat para penyokong Sang Lebah. Dua pemain yang menjadi tonggak pasukan telah bertindak untuk berhijrah ke pasukan Kelantan. Pemergian Wan Rohaimi yang juga merupakan bekas tonggak pertahanan skuad Lebah - tidak menimbulkan kehairanan kerana beliau memang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Dan keputusan tersebut turut dituruti oleh seorang lagi pemain Johor FC kelahiran Pasir Puteh - iaitu Nurul Azwan Roya atau lebih mesra dengan panggilan Awe.
Sumbangan yang telah diberikan Nurul Azwan kepada pasukan memang tidak dapat disangkal lagi. Nurul Azwan umpama Ryan Giggs bagi Johor FC. Nurul mempunyai kepantasan, skil menggelecek yang agak tinggi bagi tahap pemain tempatan, stamina yang mengagumkan dan hantaran lintang yang baik - walaupun mempunyai tubuh yang relatifnya kecil. Kehadiran Nurul memberikan dimensi berbeza di bahagian sayap kiri Johor FC. Adanya Nurul, Johor FC mempunyai pilihan untuk melakukan serangan kilat dari bahagian sayap. Sungguhpun beliau mempunyai kelemahan dalam aspek bertahan - kebolehannya untuk menyerang; menimbal balik kelemahan tersebut. Nurul Azwan sememangnya nadi penting bagi Johor FC.
Situasi perpindahan Nurul Azwan didorong oleh keadaan pasukan Kelantan yang menghadapi kesukaran untuk mencari pengganti bagi Indra Putra yang berpindah ke pasukan bertaraf kelab dari Terengganu - T-Team. Posisi sayap kiri yang selama ini menjadi kekuatan menyerang untuk pasukan Red Warrior itu; digugat dengan perpindahan yang turut mengheret kontroversi. Sathianathan mungkin tidak mempunyai masalah di bahagian sayap kanan, kerana Chanturu dilihat mampu menggantikan peranan yang dimainkan oleh Nor Farhan - dan ianya disokong oleh persembahan bertenaga Chanturu di pentas Piala Asia sebelum dikecewakan dengan kecederaan. Tetapi Sathianathan tidak mempunyai pengganti sebenar untuk posisi yang ditinggalkan oleh Indra Putra.
Faktor itu mendorong Sathianathan memilih untuk menandatangani beberapa pemain sayap dari pasukan luar seperti Danial Fazly, Soley, dan beberapa pemain lain - termasuklah Nurul Azwan. Tindakan Sathianathan ini satu tindakan yang bijak jika dilihat daripada situasi pasukan Kelantan yang sedang dalam 'pembinaan semula'. Namun begitu, Johor FC seakan-akan menjadi mangsa kerana terpaksa melepaskan Nurul Azwan yang tentu sekali lebih tertarik untuk menyertai Kelantan. Faktor gaji, kekuatan pasukan, usia, dahagakan piala, sirih pulang ke gagang dan juga tawaran kontrak yang lebih menarik membuatkan Nurul Azwan tidak dapat menolak tawaran tersebut dan melupakan Johor FC.
Menilai situasi Johor FC selepas kehilangan Nurul Azwan, coach Azuan Zain telah mengambil pemain muda berbakat, Irfan Ghani untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nurul Azwan. Bekas kapten termuda Johor ini nyata mempunyai pengalaman bermain di tahap tertinggi untuk memperkasakan bahagian sayap kiri pasukan. Gandingan antara beliau dan Khairi Kiman mungkin mampu menghadirkan ancaman seandainya kebolehan dan kemahiran yang dimiliki beliau digunakan sepenuhnya.
Azuan Zain mungkin terpaksa memikirkan formasi terbaik supaya Irfan dapat menyesuaikan diri segera dengan sistem permainan pasukan. Khairi lebih sesuai untuk bermain sebagai pertahanan kiri kerana beliau mempunyai pengalaman, kemahiran membentes yang baik dan juga rajin untuk melakukan overlapping bagi membantu jentera serangan. Pemergian Sumardi Hajalan ke pasukan Sabah, membuka ruang untuk Irfan lebih menyerlah bagi musim baru ini.
Harapan ultras; semoga pasukan Johor FC akan terus mengorak langkah kehadapan dan berusaha sebaik mungkin untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir Piala FA, Piala Malaysia dan memperbaiki pencapaian Liga Super. Seorang dua pemain tidak memberi kesan total kepada keseluruhan pasukan. Yang penting untuk pasukan ialah keseimbangan dan juga kerjasama berpasukan antara pemain lama dan baru; berumur dan muda.
Andai jurulatih Azuan dapat memikirkan strategi terbaik, tidak mustahil Johor FC akan terus memahat nama di persada bola sepak tempatan dan membuatkan peminat pasukan dari Benut hingga ke Tangkak sampai ke Endau dan turun semula ke Teluk Ramunia akan berbangga dengan kehebatan kelab kerdil dari selatan semenanjung ini.
Enjut Lebah enjut,
enjut tinggi-tinggi;
Pemain Lebah jangan takut,
baka Lebah baka berani!
Subscribe to:
Posts (Atom)