BARCELONA SELATAN SEMENANJUNG


Johor FC merupakan sebuah kelab yang berpangkalan di Pasir Gudang. Tidak ada sesiapa yang pernah mengendahkan kewujudan kelab kecil ini di persada bola sepak tempatan. Dengan dibarisi rata-rata pemain kelahiran Johor dan makan tempe, Johor FC tidak pernah mengendahkan itu semua dan terus mengorak langkah cemerlang memeriahkan kancah bola sepak tanah air.

Hakikat bahawa Johor FC melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia juga merupakan satu perkara yang biasa dan tidak mencetuskan hype dalam kalangan peminat liga tempatan. Johor FC sudah biasa mara ke pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir. Namun masih lagi kempunan untuk merasa beraksi di pentas final kerana Johor FC merupakan kelab kerdil yang tidak bersandarkan kepada nama-nama besar. Rata-rata pemain Johor FC merupakan anak kelahiran negeri dan kurang ternama. Tetapi sudah menjadi adat di mana-mana; pasukan yang kerdil; mempunyai jiwa yang cukup besar.

Musim baru 2010-2011 memberikan kejutan awal buat para penyokong Sang Lebah. Dua pemain yang menjadi tonggak pasukan telah bertindak untuk berhijrah ke pasukan Kelantan. Pemergian Wan Rohaimi yang juga merupakan bekas tonggak pertahanan skuad Lebah - tidak menimbulkan kehairanan kerana beliau memang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Dan keputusan tersebut turut dituruti oleh seorang lagi pemain Johor FC kelahiran Pasir Puteh - iaitu Nurul Azwan Roya atau lebih mesra dengan panggilan Awe.

Sumbangan yang telah diberikan Nurul Azwan kepada pasukan memang tidak dapat disangkal lagi. Nurul Azwan umpama Ryan Giggs bagi Johor FC. Nurul mempunyai kepantasan, skil menggelecek yang agak tinggi bagi tahap pemain tempatan, stamina yang mengagumkan dan hantaran lintang yang baik - walaupun mempunyai tubuh yang relatifnya kecil. Kehadiran Nurul memberikan dimensi berbeza di bahagian sayap kiri Johor FC. Adanya Nurul, Johor FC mempunyai pilihan untuk melakukan serangan kilat dari bahagian sayap. Sungguhpun beliau mempunyai kelemahan dalam aspek bertahan - kebolehannya untuk menyerang; menimbal balik kelemahan tersebut. Nurul Azwan sememangnya nadi penting bagi Johor FC.

Situasi perpindahan Nurul Azwan didorong oleh keadaan pasukan Kelantan yang menghadapi kesukaran untuk mencari pengganti bagi Indra Putra yang berpindah ke pasukan bertaraf kelab dari Terengganu - T-Team. Posisi sayap kiri yang selama ini menjadi kekuatan menyerang untuk pasukan Red Warrior itu; digugat dengan perpindahan yang turut mengheret kontroversi. Sathianathan mungkin tidak mempunyai masalah di bahagian sayap kanan, kerana Chanturu dilihat mampu menggantikan peranan yang dimainkan oleh Nor Farhan - dan ianya disokong oleh persembahan bertenaga Chanturu di pentas Piala Asia sebelum dikecewakan dengan kecederaan. Tetapi Sathianathan tidak mempunyai pengganti sebenar untuk posisi yang ditinggalkan oleh Indra Putra.

Faktor itu mendorong Sathianathan memilih untuk menandatangani beberapa pemain sayap dari pasukan luar seperti Danial Fazly, Soley, dan beberapa pemain lain - termasuklah Nurul Azwan. Tindakan Sathianathan ini satu tindakan yang bijak jika dilihat daripada situasi pasukan Kelantan yang sedang dalam 'pembinaan semula'. Namun begitu, Johor FC seakan-akan menjadi mangsa kerana terpaksa melepaskan Nurul Azwan yang tentu sekali lebih tertarik untuk menyertai Kelantan. Faktor gaji, kekuatan pasukan, usia, dahagakan piala, sirih pulang ke gagang dan juga tawaran kontrak yang lebih menarik membuatkan Nurul Azwan tidak dapat menolak tawaran tersebut dan melupakan Johor FC.

Menilai situasi Johor FC selepas kehilangan Nurul Azwan, coach Azuan Zain telah mengambil pemain muda  berbakat, Irfan Ghani untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nurul Azwan. Bekas kapten termuda Johor ini nyata mempunyai pengalaman bermain di tahap tertinggi untuk memperkasakan bahagian sayap kiri pasukan. Gandingan antara beliau dan Khairi Kiman mungkin mampu menghadirkan ancaman seandainya kebolehan dan kemahiran yang dimiliki beliau digunakan sepenuhnya.

Azuan Zain mungkin terpaksa memikirkan formasi terbaik supaya Irfan dapat menyesuaikan diri segera dengan sistem permainan pasukan. Khairi lebih sesuai untuk bermain sebagai pertahanan kiri kerana beliau mempunyai pengalaman, kemahiran membentes yang baik dan juga rajin untuk melakukan overlapping bagi membantu jentera serangan. Pemergian Sumardi Hajalan ke pasukan Sabah, membuka ruang untuk Irfan lebih menyerlah bagi musim baru ini.

Harapan ultras; semoga pasukan Johor FC akan terus mengorak langkah kehadapan dan berusaha sebaik mungkin untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir Piala FA, Piala Malaysia dan memperbaiki pencapaian Liga Super. Seorang dua pemain tidak memberi kesan total kepada keseluruhan pasukan. Yang penting untuk pasukan ialah keseimbangan dan juga kerjasama berpasukan antara pemain lama dan baru; berumur dan muda.

Andai jurulatih Azuan dapat memikirkan strategi terbaik, tidak mustahil Johor FC akan terus memahat nama di persada bola sepak tempatan dan membuatkan peminat pasukan dari Benut hingga ke Tangkak sampai ke Endau dan turun semula ke Teluk Ramunia akan berbangga dengan kehebatan kelab kerdil dari selatan semenanjung ini.

Enjut Lebah enjut,
enjut tinggi-tinggi;
Pemain Lebah jangan takut,
baka Lebah baka berani!

2 comments:

Anonymous said...

enjut lebah enjut...!!!

Isa said...

Enjut jangan tak enjut!