ANTIKLIMAKS PETANG ATAU KLIMAKS MALAM?


Perlawanan petang atau malam?

Waktu perlawanan yang bakal berubah merupakan antara topik hangat yang sedang berlegar antara penyokong pasukan Lebah dan secara tidak langsung menimbulkan polemik. Menilai daripada situasi pemain; masalah yang besar tidak akan timbul memandangkan latihan pasukan dan juga perlawanan persahabatan lazimnya berlangsung pada waktu petang.

Isunya timbul kerana pelaksanaannya bakal menimbulkan masalah daripada segi kutipan tiket dan juga bilangan penonton yang akan hadir ke stadium. Sekiranya perkara ini benar-benar dilaksanakan dan berlarutan sehingga ke penghujung musim, kita akan menyaksikan semusim yang hambar dan dingin dengan sorak sorai penyokong. Satu kesan domino bakal timbul susulan keputusan meletakkan jadual perlawanan di waktu petang; bukannya malam.

Kebanyakan daripada penyokong akan bekerja pada hari Sabtu minggu pertama dan ketiga. Sekiranya perlawanan dilangsungkan pada waktu petang hari Sabtu, kemungkinan untuk menyaksikan stadium penuh dengan tempat kosong berada dalam jaminan. Mereka (penyokong) sudah pasti tidak mahu terkejar-kejar dengan badan yang sedang keletihan, mengharung trafik jem, berasak untuk masuk ke dalam stadium - faktor ini membuatkan nafsu untuk menonton pasukan Lebah beraksi akan menurun.

Kesan dominonya, perkara ini sedikit sebanyak akan menyumbang kepada penurunan pendapatan kelab melalui penjualan tiket get. Walaupun jumlahnya tidaklah sebanyak mana; tetap memberikan kesan terhadap akaun kelab.

Apabila lebih banyak tempat kosong daripada penyokong, sudah tentu sorakan terhadap pasukan Lebah akan lesu. Bagaimana Eddy Helmi akan menjaringkan gol sekiranya tiada penyokong yang mahu menyorak? Perlu diingat, penyokong merupakan pemain ke 12 - selain pengadil yang kadangkala menjadi pemain ke 13. Ke mana perlu dicampakkan moral pasukan? Ke Danga Bay ataupun Pantai Minyak Beku?

Jelas sekali, FAM perlu memberikan sedikit kelonggaran demi memastikan Liga Malaysia akan kembali ke zaman kegemilangan sepertimana era Dunhill dahulu. Sikap keras kepada dan berdegil tidak akan membawa tahap bola sepak ke mana-mana. Pertimbangan lampu limpah stadium (500 lux dan 800-1000 lux) merupakan tanggungjawab Majlis Perbandaran terutamanya perbadanan yang menguruskan stadium. Dengan sedikit tolak ansur dan toleransi, masalah ini boleh diselesaikan demi kebaikan bersama bola sepak.

Kerana di akhir hari, rakyat yang akan memeriahkan bola sepak; bukannya borjuis yang mengisi kerusi jawatan FAM kerana memenuhi kantung sendiri.

Enjut Lebah enjut!

No comments: